OP-ED: CATATAN ANAK DAGANG DI BUMI BATAK

  • Bagikan
OP-ED: CATATAN ANAK DAGANG DI BUMI BATAK

MEDAN (Waspada) : Horas, Mejuahjuah,Yahowu dan Njuahjuah Ya’ahowu, Ahoi ! Oiii Dusanak.

10 bulan yang lalu, salutasi-salutasi ini terasa terlalu asing buat saya yang pertama kali menjejakkan kaki ke Kota Medan. Kini, salutasi begini bagai sudah sebati dengan diri. Tidak betah rasanya kalau saya menyampaikan sambutan tanpa menyebutnya. Lidah kini bisa menyebutnya secara automatis.

OP-ED: CATATAN ANAK DAGANG DI BUMI BATAK

Saya tiba di Kota Medan pada 15 Februari 2024 selaku Konsul Jeneral Malaysia di Medan yang ke-19. Misi utama saya adalah untuk menjaga kepentingan Malaysia di Pulau Sumatera dan mendukung inisiatif-inisiatif yang mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia khususnya dalam bidang perdagangan dan pelancongan.

OP-ED: CATATAN ANAK DAGANG DI BUMI BATAK

Bagi maksud itu, saya harus lebih memahami landskap domestik khususnya di Sumatera Utara dan Kota Medan. Sememangnya bumi bertuah ini mempunyai tarikannya yang tersendiri. Lihat sahaja pada keunikan sulaman Ulosnya, keseruan pantunnya, ketangkasan para penarinya, dan kepelbagaian kulinernya, saya ternyata kagum melihat masyarakat Sumatera Utara yang hidup dengan budaya dan pada masa yang sama menghidupkan budaya masing-masing.

Berbanding dengan penugasan saya di beberapa negara lain sebelum ini, saya rasa mudah dapat menyesuaikan diri di Kota Medan. Semuanya dipermudahkan oleh kebaikan insan-insan berjiwa besar di Sumatera Utara baik dari Kantor Gabenor sehinggalah kepada penjaga parkiran yang saya temui.  Cukup mudah mereka bersilaturahim dan membantu anak dagang dari Malaysia ini.

OP-ED: CATATAN ANAK DAGANG DI BUMI BATAK

Saya kira inilah antara manifestasi hubungan Istimewa yang lazim disebut setiap kali kita membicarakan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.

Hubungan istimewa antara Malaysia dan Indonesia ini telah mencecah 68 tahun. Hubungan ini mencakupi skop kerjasama yang cukup meluas baik terutamanya dalam bidang politik, perdagangan, pertahanan, kebudayaan, pelancongan dan pendidikan.

Indonesia merupakan rakan dagang ke-7 terbesar bagi Malaysia, dan ketiga terbesar dikalangan negara ASEAN dengan nilai dagangan hampir USD24 bilion pada tahun 2023. Manakala nilai dagangan antara Malaysia dengan Sumatera Utara telah direkodkan melebihi USD1 bilion pada tahun 2023.

OP-ED: CATATAN ANAK DAGANG DI BUMI BATAK

Dalam kerjasama pendidikan, pada ketika ini Malaysia selaku hab pendidikan tinggi global sedang menghoskan 170,000 pelajar asing di Malaysia daripada 166 negara. 11,000 daripada pelajar ini merupakan pelajar Indonesia termasuklah dari Sumatera Utara.

Dalam kerjasama pelancongan, terdapat lebih 200 penerbangan setiap minggu dari Malaysia ke Pulau Sumatera dan sekitar 130 daripadanya ke Medan. Dari Januari hingga Jun 2024, terdapat sekitar 500,000 pelancong dari Indonesia yang majoritinya dari Pulau Sumatera datang mendapatkan rawatan di Malaysia. Pada masa yang sama, kesudian pihak Sumatera Utara khususnya Universiti Sumatera Utara yang memberikan tempat untuk mahasiswa mahasiswi dari Malaysia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kedoktoran dan farmasi adalah amat dihargai.

Dalam bidang pertahanan, Malaysia dan Indonesia juga sering bekerjasama melalui Patroli Terkoordinasi (Patkor) Malaysia-Indonesia (Malindo) bagi mengawal keselamatan di Selat Melaka baik di lautan mahupun di udara. Kerjasama ini telah berjaya mencegah pelbagai kegiatan jenayah khususnya jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia. Inisiatif ini dikoordinasikan oleh Pejabat Perhubungan Tentera Udara dan Pejabat Perhubungan Tentera Laut di Konsulat Jeneral Malaysia di Medan.  Kerjasama dalam bidang kepolisian juga terus diperkukuh menerusi Pejabat Perhubungan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang sering berganding bahu dengan pihak Kepolisian Republik Indonesia (Polri) khususnya dalam perkongsian maklumat untuk kemaslahatan bersama.

OP-ED: CATATAN ANAK DAGANG DI BUMI BATAK

Penganjuran Gelar Melayu Serumpun (GEMES) pada pertengahan 2024 terus menjadi antara platform terbaik terus memupuk kerjasama kebudayaan antara Malaysia dan Indonesia. Hampir 200 penari dari 9 negeri di Malaysia hadir memeriahkan acara tersebut. Melalui GEMES 2024, banyak yang saya pelajari tentang keunikan budaya di Sumatera Utara khususnya serta kesamaan dan perbezaannya dengan keunikan budaya di Malaysia. Saya percaya dan berharap agar kesamaan budaya itu harus terus menyatu dan perbezaan budaya itu terus mengikat hubungan antara Malaysia Indonesia.

Demikianlah sekilas lalu selayang pandang, keakraban hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia khususnya dari perspektif anak dagang yang baru bertatih di Kota Medan. Selaku negara berjiran, hubungan Malaysia dan Indonesia boleh diibaratkan seperti sepasang kaki. Manakan enak kita berjalan sebelah kaki. Silap langkah boleh rebah kita ke bumi.

Di kesempatan ini, saya mewakili Konsulat Jeneral Malaysia di Medan ingin mengucapkan ribuan terima kasih tidak terhingga atas dukungan bapak dan ibu sekalian kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Medan sepanjang tahun 2024. Semoga kedatangan tahun 2025 membawa bersamanya ruang dan peluang untuk kita terus berkolaborasi secara lebih kompak untuk kepentingan bersama.

“Mekar sungguh si bunga raya,
Warnanya merah menghiasi taman
Malaysia-Indonesia, kita kan bersaudara
Membangun bersama sepanjang zaman”.

Medan, 31 Disember 2024

Oleh: Shahril Nizam Abdul Malek (Konsul Jeneral Malaysia)


Update berita terkini dan berita pilihan kami langsung di ponselmu. Pilih saluran favoritmu akses berita Waspada.id WhatsApp Channel : https://whatsapp.com/channel/0029VaZRiiz4dTnSv70oWu3Z dan Google News Pastikan kamu sudah install aplikasi WhatsApp dan Google News ya.

  • Bagikan

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *